Profil Penerbit UPM

Assalamualaikum dan selamat datang ke Penerbit Universiti Putra Malaysia

Penerbit UPM, pada dasarnya bertanggungjawab untuk memperbanyakkan genre penerbitan tanpa mengabaikan fokus utama dalam penerbitan ilmiah berasaskan penyelidikan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang bermutu tinggi. Bahan yang dihasilkan oleh ahli akademik dan sarjana ini bertujuan menambah khazanah ilmu, menyebar pengetahuan dan maklumat untuk manfaat manusia sejagat, di samping mengangkat nama UPM serta menjayakan Matlamat Ke-2 Pelan Strategik UPM iaitu untuk melonjak tahap pencapaian, penyelidikan dan inovasi di peringkat antarabangsa.

Penerbit UPM merupakan salah sebuah entiti di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi. Sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak pengurusan Universiti, Penerbit UPM beroperasi sebagai sebuah Pusat Tanggungjawab yang menjana sendiri pendapatan. Oleh itu, selain penerbitan ilmiah, Penerbit UPM juga aktif menawarkan khidmat profesional penerbitan seperti penyuntingan, mereka bentuk, atur huruf dan juga mengurus penerbitan bukan sahaja untuk warga UPM, malahan kepada pihak luar daripada UPM. Selain mengutamakan kualiti, Penerbit UPM sangat menekankan keaslian dan mematuhi konvensyen penerbitan antarabangsa bagi menjamin keunggulan bahan ilmiah yang diterbitkan.

Bagi memantapkan lagi peranannya, Penerbit UPM turut menganjur bengkel penerbitan bagi mendapatkan hasil dan impak yang bermutu dalam penulisan, menguruskan secara profesional penerbitan lapan jurnal universiti, termasuk jurnal Pertanika, serta mempromosikan dan menjual buku-buku yang diterbitkan. Dengan lebih 600 jadul buku mencakupi buku ilmiah, buku umum, penerbitan buku mewah, biografi, buku teks serta modul, Penerbit UPM akan meneruskan legasi ini bagi memantap dan mempertingkat penerbitan yang bermutu dan mempunyai impak kepada sasaran sekeliling.

Dalam masa yang sama, Penerbit UPM juga aktif menyertai pameran dan jualan bagi mempromosikan hasil penerbitannya di pelbagai lokasi serta acara yang berkaitan, sama ada bergerak secara individu, ataupun bekerjasama dengan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM. Jelajah ini bukan sahaja di peringkat kebangsaan seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan juga di semua universiti awam mengikut zon, agensi awam dan swasta, tetapi juga di peringkat antarabangsa seperti di Tokyo, Jepun, Frankfrut, Brunei, dan juga Jakarta.

Penerbit UPM sangat menghargai dan mengalu-alukan sebarang idea, untuk sama-sama memikul tanggungjawab menjayakan hasrat Universiti untuk menjadi yang terunggul dan disegani sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

KESARJANAAN KE ARAH KECEMERLANGAN

 

Kamariah Mohd Saidin

Ketua Penerbit