Takrifan ‘Remaja’ dan ‘Novel Remaja’:
PRAWACANA I
Susulan Seminar Kebangsaan Sastera Kanak-kanak Malaysia oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) dan UNESCO pada 5-12 Disember 1966, DBP
sebagai badan kerajaan yang bertanggungjawab menerajui pembangunan
dan perkembangan bahasa, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu di
Malaysia telah mengusahakan penerbitan majalah Dewan Pelajar mulai
Januari 1967. Antara ruangan majalah baharu ini ialah ruangan akademik,
dengan sebahagian halamannya diperuntukkan bagi karya sastera.
Tujuannya untuk memberi peluang kepada murid-murid sekolah rendah dan
menengah di Malaysia menikmati bahan bacaan (termasuk karya sastera)
yang baharu dan memaparkan nilai-nilai tempatan. Seterusnya pada Januari
1979, DBP menerbitkan majalah Dewan Siswa. Menurut Hassan Ahmad
(1979: 3), iaitu Ketua Pengarah DBP pada masa itu, majalah Dewan Siswa
diterbitkan untuk mengisi jurang besar antara murid sekolah rendah dengan
murid sekolah menengah yang tidak dapat ditampung oleh majalah Dewan
Pelajar lagi. Tegasnya, DBP mula mengkhususkan Dewan Pelajar sebagai
majalah pendidikan bagi murid-murid sekolah rendah, manakala Dewan
Siswa menjadi majalah pendidikan bagi murid-murid sekolah menengah.
PRAWACANA II
Dengan merujuk pengalamannya ketika menangani penyuntingan karya
sastera remaja dalam majalah Dewan Siswa dari tahun 1979 hingga tahun
1982, Abdul Ahmad (1991: 10-11) menjelaskan bahawa pembatasan
“daerah usia” remaja adalah penting dalam karya dan boleh mempengaruhi
pemilihan dan penggunaan laras bahasa, struktur ayat dan teknik
penyampaian yang digunakan oleh penulis. Aspek ini dikatakan mencapai
tahap yang lebih kompleks apabila penulis menggarap karya sastera remaja
berbanding karya sastera kanak-kanak. Dalam hal ini, Abdul Ahmad
membandingkan laras bahasa, struktur ayat dan teknik penyampaian dalam
novel Ibu yang Kusayang (IYK) karya Sharifah Hasnah Abdullah yang
memenangi Peraduan Mengarang Novel Kanak-kanak DBP 1978 dengan
kumpulan cerpen Sayang Si Tina (SST) karya Ali Majod yang memenangi
Hadiah Sastera Remaja Esso – GAPENA I (1981) dan novel Anak Din
Biola (ADB) karya Maaruf Mahmud yang memenangi Hadiah Sastera
Remaja Esso – GAPENA II (1982). Menurutnya, aspek laras bahasa,
struktur ayat dan teknik penyampaian didapati lebih kompleks dalam SST
berbanding aspek yang sama dalam IYK dan ADB. Selain itu, IYK didapati
menampilkan watak berusia belasan tahun dan terdiri daripada muridmurid
sekolah menengah.
PRAWACANA III
Pada awal tahun 1980-an, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan
beberapa peraduan mengarang novel kanak-kanak. Usaha ini antaranya
melibatkan penulisan novel fiksyen sains dan novel sejarah. Dalam hal
ini, peraduan mengarang novel fiksyen sains kanak-kanak pada 1980
menetapkan usia “kanak-kanak” ialah sekitar 10 hingga 14 tahun (Laporan
Panel Hakim Novel Fiksyen Sains Kanak-kanak, 1981: 52-53). Manakala,
peraduan mengarang novel sejarah kanak-kanak pula menetapkan usia
“kanak-kanak” ialah sekitar 12-15 tahun (Laporan Panel Hakim Peraduan
Menulis Novel Sejarah (Kanak-kanak) DBP 1981, 1982: 40- 41). Menjelang
akhir tahun 1980-an, DBP mengambil inisiatif menganjurkan peraduan
mengarang novel kanak-kanak dan peraduan mengarang novel remaja
secara berasingan. Peraduan mengarang novel kanak-kanak dianjurkan
oleh DBP pada 1987 dan peraduan mengarang novel remaja dianjurkan
oleh badan yang sama pada tahun 1990.
PRAWACANA IV
Suatu usaha siginifikan yang menggalakkan perkembangan novel
remaja di Malaysia ialah melalui peranan DBP menganjurkan seminar
kesusasteraan remaja. Pada 12-13 November 1997, DBP menganjurkan
Seminar Perkembangan Novel Remaja di Malaysia bertempat di Dewan
Seminar DBP. Dalam seminar ini, beberapa orang tokoh sastera tampil
membincangkan beberapa hal yang signifikan dengan perkembangan genre
ini, seperti takrif, konsep dan falsafah kesusasteraan remaja. Antaranya,
Abdul Ahmad (1997: 1-15) menyenaraikan empat faktor dominan yang
konsep dan falsafah kesusasteraan remaja, iaitu zaman remaja, penerapan
nilai murni, penerapan ilmu bantu dan aspirasi remaja dalam karya. Othman
Puteh (1997a: 1-15) pula membincangkan sejarah awal perkembangan novel
remaja di Malaysia, yang sewajarnya dilihat melalui kemunculan beberapa
novel awal pada 1950-an, seperti Chinchin Rahsia oleh Muhammad Hashim
Amir Hamzah, Bahagia Sesudah Derita oleh Md Akhir Leman dan Ahad
oleh Zakaria Salleh. Selain itu, Rahman Shaari (1997: 1-16) bahawa karya
sastera remaja turut dicorakkan melalui penggunaan bahasa yang selektif
dan kreatif, dan dilakukan melalui keseimbangan tatabahasa yang betul
dan gaya bahasa yang indah dan mengujakan. Seterusnya, Hashim Awang
(1997: 1-12) menyerlahkan bahawa suatu hal yang boleh membantutkan
perkembangan novel remaja di Malaysia ialah kekurangan kritikan sastera
remaja. Dalam hal ini, bentuk kritikan yang diperlukan ialah kritikan yang
memperkatakan tentang aspek isi dan teknik yang sesuai, berkesan dan
relevan dengan perkembangan remaja.
PRAWACANA V
Di sebalik dinamika penulisan dan penerbitan novel remaja yang bermula
sejak tahun 1980-an, terdapat segelintir penggiat sastera yang memandang
hal ini secara sinikal dan skeptikal. Antaranya ialah SN A. Samad Said, SN
Shahnon Ahmad dan R. Hamzah Dua. Dalam perbualan yang dirakamkan
dan dituliskan semula oleh Marwilis Haji Yusof (1989: 10), A. Samad Said
dikatakan cuba menolak sebarang penglibatannya dalam kesusasteraan
remaja, sebagaimana katanya: “Ada penerbit menawarkan $25,000 untuk
membuat novel remaja. Tetapi saya tidak akan menggadaikan mutu
seni kerana wang” (dalam Marwilis Haji Yusof, 1989: 10)1 [penekanan
disendengkan]. Walau bagaimanapun, tulisan Marwilis Haji Yusof ini
tidak menjelaskan dengan lebih mendalam tentang bentuk “novel remaja”
yang dimaksudkan oleh SN A. Samad Said dalam wawancara itu. Shahnon
Ahmad (1995: 34) pula menegaskan bahawa novel dan cerpen remaja
belum mencapai tahap karya sastera, sebagaimana yang dijelaskannya:
“Bagaimana untuk jangan mengelirukan masyarakat, kita ubahkan saja
nama sastera remaja itu kepada bacaan remaja semata-mata.” Seterusnya,
dalam tulisannya kepada editor Dewan Sastera, seorang penulis iaitu R.
Hamzah Dua (2001: 5) meletakkan kedudukan karya sastera remaja sebagai
“sastera ringan” semata-mata, ketika mengulas sumbangan penulis “novel
remaja” (seperti bentuk yang difahaminya) terhadap bidang kesusasteraan
Melayu, seperti dalam tulisannya: “Persoalan tersebut menjelaskan betapa
pentingnya peranan atau usaha penulis sastera ringan atau lebih manis
disebut sebagai sastera remaja, yang selama ini cuba dipertikaikan dan
direndahkan usaha mereka” [penekanan disendengkan].
Tulisan ini diambil dari buku terbaharu terbitan Penerbit UPM iaitu Bagaimana Kami Menulis Karya Remaja oleh Haliz Azhan Mohd. Hanafiah, Nik Rafidah Nik Mohammad Affandi dan Arba'ie Sujud. Untuk mengetahui lebih lanjut anda boleh dapatkan buku ini dengan datang terus ke KEDAI BUKU PENERBIT UPM, kedai-kedai buku terpilih atau menerusi pembelian dalam talian (online) menerusi laman web http://www.upmpress.com.my
Date of Input: 30/03/2020 | Updated: 30/03/2020 | lanjoy2006@g.mail.com
Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Bin Hameed Sultan
Director
Universiti Putra Malaysia Press,
43400 UPM, Serdang Selangor